PERBINCANGAN meja bulat di antara penceramah dan peserta bagi mengenal pasti usaha-usaha yang perlu dilaksanakan bagi mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan selesa di kalangan wanita terutamanya golongan OKU.

DALAM membicarakan suasana kerja yang kondusif dan selesa, ramai terlepas pandang kepada orang kurang upaya (OKU) yang turut menyumbangkan tenaga mereka untuk pembangunan negara.

Mengikut statistik terdapat 220,250 golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Disember tahun lalu.

Daripada jumlah tersebut, 581 orang bekerja sebagai kakitangan awam dan dipercayai lebih 6,000 bekerja di sektor swasta.

Biarpun dipandang daripada angka tersebut tidak ramai golongan OKU bekerja, namun itu tidak bermakna kebajikan mereka langsung dipandang sepi.

Cuba anda bayangkan, selesakah golongan itu berada di tempat kerja masing-masing apabila rata-rata bangunan di negara ini tidak begitu mementingkan laluan untuk OKU terutama yang berkerusi roda.

Adakah mereka juga boleh bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam? Perkara ini turut perlu diambil kira semua pihak terutama kerajaan.

Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya, Bathmavathi Krishnan berkata, golongan OKU sebenarnya berhadapan dengan lebih banyak diskriminasi berbanding orang biasa.

Golongan ini seolah-olah halimunan. Kewujudan mereka tidak dipandang oleh masyarakat dan suara mereka juga tidak didengari, biarpun hakikatnya semua sedar akan kehadiran golongan tersebut dalam kelompok masyarakat.

Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kemudahan dan peluang pekerjaan diwujudkan untuk wanita luar bandar, tetapi tidak kepada wanita OKU.

“Itulah sikap masyarakat kita yang meletakkan golongan OKU di kedudukan paling rendah dalam masyarakat.

“Sedangkan ramai wanita OKU yang bekerja. Menjadi guru, peguam, usahawan dan tidak kurang juga pekerja am biasa.

“Biar mereka tidak sempurna dan tidak juga ‘dipandang’, tetapi mereka turut menyumbang kepada negara,’’ katanya.

Bathmavathi mendedahkan perkara itu kala mengupas topik berkaitan membentuk suasana kerja kondusif dan selesa di masa depan dalam perbincangan meja bulat di kalangan wanita yang menghadiri Sidang Kemuncak Wanita baru-baru ini.

Justeru kata Bathmavathi, sikap masyarakat perlu berubah di samping mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan mudah dilalui terutama bagi OKU yang menggunakan kerusi roda.

Jelasnya, masyarakat masih memupuk budaya tidak memandang mereka yang berkerusi roda menyebabkan sukar untuk golongan itu bergerak bebas di kebanyakan tempat.

Beliau berkata, dengan persekitaran kerja yang terbatas itu, sukar untuk golongan OKU bekerja biarpun hakikatnya mereka layak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kawasan Timur bagi Perancangan dan Perumahan (EAROPH), Khariah Talha pula menambah, bangunan-bangunan yang dibina di negara ini kurang mengambil kira tentang golongan OKU dan tidak ketinggalan warga emas.

Sambil menayangkan satu gambar bangunan baru di Shah Alam, Khairiah melahirkan rasa kecewa apabila melihat pembinaan laluan untuk mereka yang berkerusi roda di bangunan itu dibuat sambil lewa.

Apa tidaknya, di akhir laluan tersebut terdapat lubang longkang besar yang ditutup jaring besi. Sesuaikah ia diletakkan di hujung laluan tersebut?

“Cuba fikir, macam mana kerusi roda hendak melalui laluan itu jika akhirnya rodanya akan termasuk dalam jaring-jaring besi berkenaan.

“Sedangkan, kita yang normal pun takut hendak melaluinya, apatah lagi golongan tersebut dan warga emas,’’ ujar Khairiah.

Sebaiknya kata beliau, Malaysia mengubah corak pembangunannya dengan mewujudkan segalanya dalam satu kawasan.

Contohnya, bangunan dibina dengan pusat membeli-belah di bahagian bawah dan kediaman berada di atasnya.

Jelasnya, bukan hanya sebuah bangunan tetapi satu kawasan mempunyai pembangunan bercampur seperti itu.

“Tetapi, di Malaysia rata-ratanya terpisah. Kawasan perumahan letaknya jauh dari kawasan komersial.

“Kalau adapun, kediaman itu dijual pada harga yang tidak mampu dimiliki semua orang. Sedangkan di Melbourne, Australia, pembangunan seperti ini telah diwujudkan dengan kediaman dijual dengan harga yang berpatutan,’’ katanya.

Hasil penerangan ringkas tetapi cukup berisi daripada para penceramah serta perbincangan meja bulat tersebut telah menyarankan agar kerajaan menyediakan persekitaran kerja yang selesa merangkumi kemudahan asas termasuk pengangkutan awam yang murah dan mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut menekankan perlunya diwujudkan kemudahan lain berdekatan dengan tempat kerja umpamanya bank dan klinik yang juga perlu dibangunkan bersama dalam kawasan perumahan agar golongan seperti OKU tidak perlu bergerak jauh untuk menjalankan urusan masing-masing.

Selain itu, mereka turut menyarankan agar keselamatan awam dipertingkatkan di samping mengambil kira aspek kebersihan kerana kurangnya aspek keselamatan dan kebersihan hanya akan menimbulkan tekanan buat wanita.

0 Comments:

Post a Comment



Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

Hubungi saya :

Badruzamani Azmi
Manager
Valina Rabbitary Agro Farm
Bilik 132
Anjung Rahmat Inn
Batu 6, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, 53100
Malaysia
Mobile: 0134177752
badruzamani_azmi@yahoo.com
nak KAYA kena ada DUIT
Visit MyBlogLog and get a signature like this!