Firman Allah: 'Sesungguhnya kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Dan apa caranya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu (yang berkat itu sehingga terbit fajar' - surah al-Qadar:1-5
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah pada malam-malam terakhir Ramadan adalah dengan melipat gandakan amalan ibadah. Tegas Rasulullah dalam sebuah hadis: 'Rasulullah pada malam-malam sepuluh yang terakhir Ramadan memperiratkan ikatan kainnya dan bangun semalaman dan mengejutkan keluarganya' - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Ini bererti Rasulullah menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan banyak melakukan solat dan zikir. Tegas Aisyah: 'Adalah Rasulullah bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir (dari bulan Ramadan) melebihi kesungguhan pada malam-malam yang lain' - hadis riwayat Ahmad dan Muslim.
|
|
Qiamullail atau solat Tahajud atau solat malam adalah merupakan ibadah yang amat dituntut terutamanya pada bulan Ramadan. Firman Allah: 'Dan bangunlah pada sebahagian waktu malam dan kerjakanlah (solat tahajud)padanya, sebagai solat tambahan bagi mu; semoga Tuhan mu membangkitkan dan menempatkan mu pada hari akhirat di tempat yang terpuji' - surah al-Isra' : 79.
Rasulullah menegaskan: 'Solat yang paling utama sesudah solat fardu adalah qiamullail (solat pada tengah malam)'- hadis Mutafaqun alaih. Sementara itu, amalan berdoa juga merupakan amalan yang baik. Rasulullah menegas: 'Pada waktu malam terdapat satu saat di mana Allah akan mengkabulkan doa setiap malam' - hadis riwayat Muslim.
Dalam pada itu, kita sepatutnya menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang di luar tuntutan yang menjadi amalan Rasulullah. Namun, saat akhir Ramadan masa yang paling sibuk bagi kebanyakan orang untuk mengadakan persiapan dan sambutan hari raya.
Masjid yang pada awalnya begitu imarah sekali, mungkin mula kembali sepi dengan jemaah. Ironinya, para suri rumah tangga pula terpaksa bersengkang mata untuk menyediakan juadah hari raya yang akan disambut dalam jangka masa sebulan pada bulan Syawal.
Apa pun yang kita lakukan, jadikan Ramadan kali ini untuk kita menilai kembali sejauh manakah pencapaian kita dalam aspek kesabaran dan kawalan emosi.
Labels: renungan
Apakah cara terbaik dalam menangani dan melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa penderaan seksual?
DALAM menangani isu berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling antara golongan yang perlu dipertanggungjawabkan.
Apakah yang boleh kita katakan sekiranya kesucian seorang kanak-kanak itu dinodai? Atau apabila seorang kanak-kanak dicabuli tanpa belas kasihan? Atau apabila seorang kanak-kanak didera dengan cara kekerasan oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan?
Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan penderaan seksual kanak-kanak kian berleluasa. Tidak kira tempat, situasi mahupun keadaan, pasti akan berlaku tanpa diketahui punca dan sebabnya.
Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah kanak-kanak itu sendiri ataupun ibu bapa, guru dan pihak berkuasa?
Terdapat banyak kemungkinan yang menjadi persoalan kita hari ini. Namun, permasalahan yang berlaku itu turut melibatkan bantuan dan sokongan seluruh anggota masyarakat.
Menurut jurulatih merangkap pegawai pencegahan di P.S The Children, Wong Lai Cheng, ibu bapa dan orang awam seharusnya memainkan peranan penting dalam menangani masalah berhubungan penderaan seksual kanak-kanak.
Pengisian diri dengan maklumat tambahan berkaitan isu semasa dan memahami definisi penderaan seksual kanak-kanak serta cara pencegahannya, antara elemen penting yang perlu diketahui.
Katanya, penderaan seksual terhadap kanak-kanak berlaku apabila seorang, sama ada tua ataupun muda, lelaki mahupun perempuan, menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seksnya.
"Ia boleh membabitkan paksaan, penipuan atau ancaman ke atas kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seks. Penderaan sebegini boleh berlaku dalam bentuk fizikal atau bukan fizikal dan boleh meliputi satu rangkaian perilaku seks.
"Antaranya seperti persetubuhan melalui faraj atau dubur, memasuki objek ke dalam lubang faraj, mulut atau dubur, melakukan seks oral, panggilan lucah, mendedahkan bahagian sulit ataupun mengintai," ujarnya.
Paling penting katanya, ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak hal berkaitan pendidikan seksual sejak kecil lagi, ketika mereka mula bercakap.
"Mulakan dengan pengenalan pada bahagian luaran anggota dan dalaman badan. Jangan sesekali berasa malu untuk menyatakan perkara yang melibatkan anggota kemaluan.
"Selain mendedahkan maklumat mengenai pengenalan diri, ibu bapa mahupun guru perlulah membangkitkan kesedaran dan keyakinan terhadap diri mereka dan anak-anak menerusi kemahiran yang boleh dipraktikkan," katanya ketika ditemui KOSMO!.
Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu menitikberatkan tiga perkara penting mengenai kawalan keselamatan diri kanak-kanak.
Antara komponen utama yang perlu dijelaskan kepada mereka dengan sentiasa berkata tidak, melarikan diri dan memberitahu perkara yang berlaku.
"Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya mendedahkan kepada mereka tentang peraturan menyentuh. Ajar kanak-kanak bahawa adalah salah sekiranya membenarkan orang lain memegang atau menyentuh bahagian sulit badan melainkan membersih dan menjaga kesihatan mereka.
"Dan salah sekiranya orang yang lebih besar atau tua menyuruh kamu memegang atau menyentuh bahagian sulit badan mereka," tegas Lai Cheng.
Sekiranya ia berlaku, ajar kanak-kanak memberitahu kepada orang yang boleh dipercayai dan jangan sesekali merahsiakan perkara tersebut.
Antara tindakan yang perlu dilakukan ibu bapa sekiranya anak mereka mula memberitahu:
Percaya
Kanak-kanak jarang sekali mengadakan cerita apatah lagi menggembar-gemburkannya. Mereka tidak berani untuk menceritakan sesuatu kerana bimbang tiada siapapun yang akan percaya kepada mereka.
Mempercayai kanak-kanak adalah langkah utama dalam membantu mengatasi trauma yang dialami. Kata-kata seperti, 'saya percayakan kamu' atau 'itu bukan salah kamu' akan memulihkan semangat mereka untuk bercerita.
Bertenang
Kanak-kanak mungkin menyalah anggap kemarahan anda terhadap penderaan yang berlaku kepada mereka sebagai suatu perkara yang menjijikkan. Kesabaran anda dapat membantu mengembalikan maruah mereka.
Kata-kata yang menyakinkan seperti, 'kanak-kanak lain juga ada mengalami pengalaman yang sama' atau 'kita harus lakukan sesuatu' boleh mendorong mereka untuk lebih bersikap terbuka.
Beri keyakinan
Kanak-kanak yang didera sering bermain dengan perasaan mereka, akibat daripada manipulasi yang dilakukan oleh pendera.
Mereka harus dibenarkan dan digalakkan untuk menyatakan perasaan yang terpendam. Perasaan mereka haruslah dipandang serius dan tegas.
Kata-kata seperti, 'saya tahu ia bukan mudah untuk diterima' dan 'awak memang berani untuk mendedahkannya' dapat menyampaikan simpati, keprihatinan dan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak.
Membimbing kanak-kanak menghadapi situasi seterusnya.
Kanak-kanak yang didera akan berasa tidak berupaya. Mereka perlu tahu ada pihak yang sedia menghulurkan bantuan.
Mereka juga harus diberitahu apa yang perlu dilakukan contohnya, bagaimana mengaitkan kejadian itu, siapa yang harus diberitahu dan apakah bantuan yang diperlukan.
Beri sokongan
Bercakap tentang penderaan boleh menjadikan mereka trauma seperti kesan penderaan itu sendiri. Orang dewasa harus memberikan sokongan kepada kanak-kanak, khususnya ketika mereka mula memberitahu. Yakinkan kanak-kanak tersebut bahawa anda akan sentiasa membantu selagi mereka memerlukan anda dan bersama-sama menempuhinya.
Laporkan kes penderaan
Ini adalah satu langkah untuk mencegah kes penderaan. Dinasihatkan supaya membuat laporan dalam masa 72 jam.
Labels: pendidikan
Selepas bersahur ala kadar dengan nasi ayam semalam yang sudah dipanaskan, saya pun mandi. Selesai mandi, saya bersiap untuk memakai baju. Kedengaran dari masjid berhampiran solat Subuh.
Selepas memakai beg Colostomy, saya pun berpusing untuk memasang kapas pada luka.
"Alamak....kenapa darah banyak sangat?"
Ku dapati darah hampir memenuhi kain pelekat yang ku buat lapik dan underpad (blue linen). Serentak dengan tu, kepala ku hampir 'pusing'. Cepat - cepat ku meniarap dan menyudahkan kerja ku. Selepas tu, aku pun memakai pampers dan kain pelekat baru, bersiap untuk solat Subuh.
Selesai solat, jam sudah menunjukkan hampir pukul 7 pagi. Aku pun ONkan laptop LENOVOku untuk membuat kerja sedikit. Setelah jam sudah menunjukkan pukul 8 pagi, aku pun cepat - cepat shutdown laptop ku dan keluar menunggu Van Mobiliti yang sudah berjanji nak mengambilku untuk ke PPUKM. Van datang sekitar 8.30 pagi.
Setelah sampai di lobi PPUKM, aku pun cepat - cepat bergerak ke klinik Urologi yang tidak jauh dari ruang lobi. Setelah mendapat nombor giliran, (aku dapat nombor 1064) aku pun ke mini 'shop' untuk membeli surat khabar. Kemudianku kembali ke klinik. Nombor di 'display board' menunjukkan nombor 1009. Tu dia...masih lama lagi, baik aku baca surat khabar dulu.
Baca 5 helai muka surat khabar habis ku baca, kepalaku rasa sedikit pening (macam nak pitam). Aku pun menyandarkan kepalaku ke dinding. Perbuatanku itu rupanya menarik perhatian seorang jururawat. Setelah melihat lama ku berkeadaan sebegitu (rupanya wajahku juga kelihatan pucat tanpa ku sedari), dia pun bertanya nombor giliranku. Nombor di 'display board' baru menunjukkan nombor 1038.
Tak lama kemudian, seorang MA (abang Wan) menolak ku masuk ke dalam bilik doktor. Doktor menanyaku ringkas dan mencatat sesuatu di atas kertas berwarna biru. Kemudian, dia nak periksaku di atas katil. Selepas itu, dia suruh ke bilik rawatan untuk tukar CBD.
Setelah selesai, dia memberiku 2 keping surat berwarna biru. Satu untuk doktor Orthopedik dan satu untuk bahagian Kecemasan. Aku tidak berapa faham apa dia tulis. Kemudian, ku pun pergi ke Unit Kecemasan PPUKM. Ku memberi surat tersebut kepada seorang pemuda (pendaftar kat kaunter kecemasan tu), kemudian dia suruhku ikut dia. Aku pun mengikutnya dari belakang dengan perlahan - lahan kerana agak kurang bermaya sikit (rasa letih).
Kemudian, dia bercakap dengan seorang doktor perempuan. Doktor itu pun mula bertanya keadaanku. Aku menjawab ringkas. Dia pun memeriksa tekanan darah, mata dan mengambil darah untuk di hantar ke makmal.
Kemudian, aku diangkat naik katil. Mulalah seorang jururawat memasukkan air (IV drip) dan memasang pelbagai wayar kat jari, lengan dan dadaku. Aku rasa bestnya dapat tidur kat katilku. Aku dah tak peduli apa yang berlaku kat sekelilingku.
Lama juga rupanya ku tidur. jam sudah menunjukkan hampir 5 petang. Seorang doktor lelaki datang kepada ku dan berkata, "BP (blood pressure) awak agak OK la walaupun atas 105 dan bawah 75. Tapi, HP awak agak rendah sangat. Cuma 6.3. Jadi, awak kena ditahan terlebih dahulu".
Kini, sudah 2 hari ku berada di Katil 16, Wad Orthopedik, Tingkat 4, PPUKM. Sehingga kini, sudah 2 pain darah O sudah dimasukkan sejak malam pertama ku di wad. Kemudian, hari ni seorang kawanku telah membawa laptopku ke sini. Baru la dapat online. Kalau tidak, tentu ku boring duduk kat wad. Sekian.
Labels: diari
Apapun alasan mereka, ibu bapa perlu mencari punca masalah agar anak anda tidak terjebak dalam kes yang lebih teruk.
ANAK anda menyiapkan kerja rumah tepat pada masanya dan membantu membersihkan meja selepas makan. Tetapi percayakah anda bahawa anak yang sama mungkin mencuri?
Sebelum anda melakukan apa-apa, adalah lebih baik anda mengetahui mengapa si anak mencuri dan bagaimana anda boleh membantu.
Terdapat pelbagai sebab mengapa kanak-kanak atau anak remaja anda mencuri.
*Kanak-kanak adakalanya mengambil barang tanpa memahami ia adalah perbuatan yang salah. Segelintir daripada mereka pula mungkin merasakan terlalu sukar untuk menahan godaan benda yang disukai.
*Anak yang sudah mencecah usia remaja tahu mencuri adalah salah di sisi undang-undang dan diharamkan agama. Tetapi mungkin juga mereka mencuri kerana keseronokan atau mungkin sebab pengaruh rakan sebaya. Ada antara mereka yang percaya mereka tidak akan ditangkap dan tidak kurang juga yang mencuri sebagai tanda memberontak.
Selain itu, terdapat juga sebab yang lebih kompleks mengapa perbuatan itu dilakukan. Ada yang berkemungkinan sengaja berbuat demikian untuk menarik perhatian ibu bapa. Tindakan mereka boleh mencerminkan sesuatu masalah atau tekanan yang dihadapi di sekolah mahupun di rumah.
Dalam sesetengah kes, remaja mencuri bagi membalas dendam terhadap penderaan fizikal yang dialami di rumah. Terdapat juga kes di mana anak remaja mencuri kerana mereka tidak mampu membayar apa yang diperlukan seperti jam berjenama.
Apa sekali pun alasan mereka, ibu bapa perlu mencari punca masalah agar anak anda tidak terjebak dalam kes yang lebih teruk seperti penagihan dadah.
n Apakah yang perlu saya lakukan?
Apabila seseorang anak remaja ditangkap kerana mencuri, ibu bapa perlu mengenal pasti sama ada ia pertama kali dilakukan atau sudah mempunyai rekod yang panjang.
Kepada anak yang lebih kecil, ibu bapa boleh membantu mereka memahami bahawa perbuatan mencuri itu salah. Misalnya, jika anak anda mencuri gula-gula, minta si anak supaya pulangkan kembali kepada tuannya. Tetapi, andainya gula-gula itu sudah dimakan, anda boleh membawa anak kembali ke tempat asal untuk meminta maaf.
|
|
Terangkan kepada anak bahawa memulangkan barangan yang telah dicuri adalah satu perbuatan yang mulia.
Apabila anak remaja mencuri, ibu bapa disarankan bersikap lebih tegas ketika menghadapi situasi ini.
Perasaan malu si anak ketika berhadapan dengan perbuatannya sendiri akan memberi pengajaran berguna pada masa akan datang.
Hukuman tambahan khasnya yang melibatkan keadaan fizikal tidak perlu dan kemungkinan akan membuatkan si anak bertambah marah serta bertindak di luar jangkaan.
Ibu bapa perlu ingat bahawa mencuri barang di kedai bukan sekadar kes kecurian biasa yang boleh diakhiri dengan ungkapan maaf. Ia adalah satu perbuatan jenayah yang boleh menjurus kepada akibat teruk seperti dimasukkan ke penjara atau pusat pemulihan juvenil.
Andainya si anak mencuri duit ibu bapanya, dia perlu menerima hukuman sama ada memulangkan wang tersebut atau melakukan kerja-kerja rumah tambahan.
Perlu diingatkan, ibu bapa jangan sesekali 'mengumpan' anak dengan sengaja meletakkan wang di merata-rata tempat dengan harapan dapat menangkap perbuatannya.
Tindakan ini boleh menjejaskan kepercayaan antara ibu bapa dan anak.
n Anak terus mencuri
Sekiranya anak masih tidak insaf dan meneruskan niat mencuri, anda sebagai ibu bapa mungkin memerlukan bantuan profesional. Kesalahan yang berulang mungkin memberi petanda kepada sesuatu masalah yang lebih besar.
Satu pertiga daripada juvenil yang ditangkap mencuri barangan di kedai berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk menghentikan perbuatan tersebut.
Jadi, adalah penting untuk anak remaja anda memahami mengapa perbuatan mencuri adalah salah dan boleh membawa kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Antara mereka yang boleh menghulurkan bantuan untuk membantu anda dan anak menangani masalah ini termasuk:
*Pakar terapi keluarga atau kaunselor.
*Doktor panel keluarga.
*Kaunselor sekolah.
*Badan bukan kerajaan yang mungkin boleh menyediakan maklumat untuk membantu.
Biarpun kebanyakan tindakan mencuri mungkin didorong oleh keperluan atau pengaruh rakan sebaya, dalam sesetengah kes, jarang seseorang berkemungkinan mencuri kerana menghidap kleptomania.
Kleptomania merupakan sejenis gangguan penyakit dan antara punca bagi sebilangan kecil kes yang melibatkan kecurian di kedai. Mereka yang menghidap gangguan ini gagal menepis godaan dan kecenderungan mencuri biarpun nilai objek yang diminati tidak seberapa.
Individu seperti ini biasanya akan membuangkan objek yang dicuri dan turut mengalami gangguan pemakanan serta personaliti yang lain.
Apa sekali pun puncanya, ibu bapa perlu mengambil tindakan segera apabila mendapati perbuatan mencuri si anak sudah mencapai tahap kritikal. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.childdevelopmentinfo.com.
Labels: tips
DALAM membicarakan suasana kerja yang kondusif dan selesa, ramai terlepas pandang kepada orang kurang upaya (OKU) yang turut menyumbangkan tenaga mereka untuk pembangunan negara.
Mengikut statistik terdapat 220,250 golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Disember tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, 581 orang bekerja sebagai kakitangan awam dan dipercayai lebih 6,000 bekerja di sektor swasta.
Biarpun dipandang daripada angka tersebut tidak ramai golongan OKU bekerja, namun itu tidak bermakna kebajikan mereka langsung dipandang sepi.
Cuba anda bayangkan, selesakah golongan itu berada di tempat kerja masing-masing apabila rata-rata bangunan di negara ini tidak begitu mementingkan laluan untuk OKU terutama yang berkerusi roda.
Adakah mereka juga boleh bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam? Perkara ini turut perlu diambil kira semua pihak terutama kerajaan.
Presiden Persatuan Wanita Kurang Upaya, Bathmavathi Krishnan berkata, golongan OKU sebenarnya berhadapan dengan lebih banyak diskriminasi berbanding orang biasa.
Golongan ini seolah-olah halimunan. Kewujudan mereka tidak dipandang oleh masyarakat dan suara mereka juga tidak didengari, biarpun hakikatnya semua sedar akan kehadiran golongan tersebut dalam kelompok masyarakat.
Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak kemudahan dan peluang pekerjaan diwujudkan untuk wanita luar bandar, tetapi tidak kepada wanita OKU.
“Itulah sikap masyarakat kita yang meletakkan golongan OKU di kedudukan paling rendah dalam masyarakat.
“Sedangkan ramai wanita OKU yang bekerja. Menjadi guru, peguam, usahawan dan tidak kurang juga pekerja am biasa.
“Biar mereka tidak sempurna dan tidak juga ‘dipandang’, tetapi mereka turut menyumbang kepada negara,’’ katanya.
Bathmavathi mendedahkan perkara itu kala mengupas topik berkaitan membentuk suasana kerja kondusif dan selesa di masa depan dalam perbincangan meja bulat di kalangan wanita yang menghadiri Sidang Kemuncak Wanita baru-baru ini.
Justeru kata Bathmavathi, sikap masyarakat perlu berubah di samping mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan mudah dilalui terutama bagi OKU yang menggunakan kerusi roda.
Jelasnya, masyarakat masih memupuk budaya tidak memandang mereka yang berkerusi roda menyebabkan sukar untuk golongan itu bergerak bebas di kebanyakan tempat.
Beliau berkata, dengan persekitaran kerja yang terbatas itu, sukar untuk golongan OKU bekerja biarpun hakikatnya mereka layak.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kawasan Timur bagi Perancangan dan Perumahan (EAROPH), Khariah Talha pula menambah, bangunan-bangunan yang dibina di negara ini kurang mengambil kira tentang golongan OKU dan tidak ketinggalan warga emas.
Sambil menayangkan satu gambar bangunan baru di Shah Alam, Khairiah melahirkan rasa kecewa apabila melihat pembinaan laluan untuk mereka yang berkerusi roda di bangunan itu dibuat sambil lewa.
Apa tidaknya, di akhir laluan tersebut terdapat lubang longkang besar yang ditutup jaring besi. Sesuaikah ia diletakkan di hujung laluan tersebut?
“Cuba fikir, macam mana kerusi roda hendak melalui laluan itu jika akhirnya rodanya akan termasuk dalam jaring-jaring besi berkenaan.
“Sedangkan, kita yang normal pun takut hendak melaluinya, apatah lagi golongan tersebut dan warga emas,’’ ujar Khairiah.
Sebaiknya kata beliau, Malaysia mengubah corak pembangunannya dengan mewujudkan segalanya dalam satu kawasan.
Contohnya, bangunan dibina dengan pusat membeli-belah di bahagian bawah dan kediaman berada di atasnya.
Jelasnya, bukan hanya sebuah bangunan tetapi satu kawasan mempunyai pembangunan bercampur seperti itu.
“Tetapi, di Malaysia rata-ratanya terpisah. Kawasan perumahan letaknya jauh dari kawasan komersial.
“Kalau adapun, kediaman itu dijual pada harga yang tidak mampu dimiliki semua orang. Sedangkan di Melbourne, Australia, pembangunan seperti ini telah diwujudkan dengan kediaman dijual dengan harga yang berpatutan,’’ katanya.
Hasil penerangan ringkas tetapi cukup berisi daripada para penceramah serta perbincangan meja bulat tersebut telah menyarankan agar kerajaan menyediakan persekitaran kerja yang selesa merangkumi kemudahan asas termasuk pengangkutan awam yang murah dan mudah digunakan oleh semua golongan masyarakat.
Tidak cukup dengan itu, mereka turut menekankan perlunya diwujudkan kemudahan lain berdekatan dengan tempat kerja umpamanya bank dan klinik yang juga perlu dibangunkan bersama dalam kawasan perumahan agar golongan seperti OKU tidak perlu bergerak jauh untuk menjalankan urusan masing-masing.
Selain itu, mereka turut menyarankan agar keselamatan awam dipertingkatkan di samping mengambil kira aspek kebersihan kerana kurangnya aspek keselamatan dan kebersihan hanya akan menimbulkan tekanan buat wanita.
Labels: oku
Pemergian allahyarham Pak Samad ibarat satu kehilangan permata berharga dalam dunia kewartawanan. Beliau merupakan tokoh kewartawanan dan pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.
Pak Samad, yang memang dikenali dalam dunia persuratkhabaran dan sastera tanah air kerana jasa yang dicurahkan begitu terlalu berharga sekali, meninggalkan 10 anak termasuk bekas wartawan Nuraina dan Maria, selain 26 cucu serta empat cicit. Isteri pertamanya, Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.
Pak Samad dilahirkan di Singapura pada 18 April 1924, adalah satu-satunya wartawan Melayu yang kerjayanya merentangi penjajahan British, pemerintahan tentera Jepun dan zaman kemerdekaan.
Beliau yang dipanggil 'Chomel' oleh ayah dan ibunya sejak kecil, kemudian menjadi wartawan pejuang hingga tiga kali ditahan, dua kali dalam masa penjajahan dan sekali lagi kira-kira 20 tahun selepas merdeka.
Pak Samad yang lulus Senior Cambridge pada 1940, sepatutnya melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi ayah dan ibunya tidak sanggup berpisah dengannya lalu beliau membuat keputusan untuk berkhidmat sebagai pelatih dengan akhbar Utusan Melayu pada 1941 ketika berusia 16 tahun.
Tiga bulan beliau berbasikal ke Utusan Melayu tanpa gaji. Tiga kali beliau disumbat ke penjara tanpa dihakimi atau disabitkan, tetapi setiap kali itu juga beliau kembali bingkas mengetuk mesin taipnya.
Beliau bekerja di bawah kepemimpinan Bapa Wartawan Melayu, Abdul Rahim Kajai dan ketika pendudukan Jepun, Pak Samad dilantik sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu. Apabila Utusan Melayu ditukar menjadi Berita Malai, beliau kekal dengan jawatannya. Sekitar 1944-1945, beliau dilantik sebagai Pengarang Berita Malai apabila Ishak Haji Mohamad berhenti menjadi pengarang akhbar itu.
Apabila Jepun menyerah diri pada 1945 dan British kembali memerintah, Pak Samad ditahan di penjara atas tuduhan menghasut rakyat ketika pendudukan Jepun. Beliau disoal siasat oleh pegawai perisikan tentera di Penjara Outram atas tuduhan menulis berita dan rencana anti-British.
Pak Samad menganggap pengalamannya itu begitu pahit sekali kerana isterinya sedang mengandung anak pertama. Akhirnya selepas perbicaraan, Pak Samad dibebaskan dan beliau kembali berkhidmat dengan Utusan Melayu sebagai penolong pengarang pada 1946 di bawah Yusof Ishak (bekas Presiden Republik Singapura).
Pada 1951, Pak Samad ditangkap oleh British di bawah Undang-undang Darurat ekoran daripada Peristiwa Natrah dan dibebaskan dua tahun kemudian. Beliau kemudiannya berkhidmat semula dengan Utusan Melayu sehingga 1958. Selepas itu, beliau berkhidmat dengan akhbar Straits Times Singapura dengan memegang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian.
Edisi Berita Harian di Kuala Lumpur yang dilancarkan pada 1 Julai 1957 pada mulanya adalah terjemahan berita dan rencana yang disiarkan dalam Straits Times. Segala-galanya berubah apabila Pak Samad pindah ke Kuala Lumpur.
Pelbagai berita dan rencana, termasuk mengenai sidang Parlimen ditulis oleh pemberita Berita Harian sendiri. Beliau juga melantik ramai pemberita wakil negeri dan daerah.
Kemudiannya pada 1972, Pak Samad dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan di New Straits Times. Pada 1976, beliau ditahan di bawah Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri kerana dituduh bersimpati dengan komunis sehingga dibebaskan pada 1981.
Pada 1982, beliau dipanggil semula oleh New Straits Times untuk menjadi Penasihat Sidang Pengarang sehingga persaraannya pada Jun 1988. Pada 2000, Pak Samad dilantik semula sebagai Penasihat Jabatan pengarang.
Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (1991-1993), kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.
Beliau juga dikenali sebagai penulis novel yang terkemuka. Antara hasil karyanya ialah novel Patah Sayap Terbang Jua, Hussein Zed, Kail Panjang Sejengkal, Orang Jauh, Tembok Tidak Tinggi, Detik-Detik Cemas dan Menimba Yang Jernih.
Antara antologi cerpen Pak Samad pula ialah Mastura dan Temasya Tinta. Pak Samad juga menulis buku mengenai kewartawanan dan penulisan, iaitu Kursus Wartawan dan Mengasah Bakat.
Atas jasanya itu, Pak Samad dianugerahkan pingat Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1992 yang membawa gelaran Tan Sri.
Dalam bidang politik, Pak Samad pernah menyandang jawatan Presiden Kesatuan Melayu Muda pada 1945. Pada 1953, beliau pernah bersama-sama bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menaja menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Pada 1958, beliau berhenti daripada parti itu untuk menjadi anggota Umno Singapura sebagai Pengerusi Tetap.
Sepanjang kerjayanya, Pak Samad pernah dianugerahkan gelaran Pejuang Bahasa Kesusasteraan pada 1976; Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1987; Tokoh Wartawan Negara pertama pada 1988 oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI); Anugerah Wartawan Cemerlang Kebangsaan oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia pada 1996 dan Anugerah Ramon Magsaysay pada 1994.
Kehilangannya semalam yang berselang beberapa hari dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 begitu menyentuh kerana Pak Samad adalah antara anggota rombongan delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan.
Malah, pembabitannya dalam sejarah negara tidak boleh diperkecilkan walaupun peranannya banyak di belakang tadbir, begitu juga dengan kemerdekaan Indonesia dan dalam merapatkan semula hubungan antara Malaysia dan Indonesia semasa konfrontasi.
Jenazah Pak Samad dibawa ke rumahnya di No 2, Lorong 16/7C, Petaling Jaya malam tadi dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas sembahyang Jumaat hari ini.
Marilah kita sama - sama bertafakur sejenak / sedekahkan al - fatihah buat roh Pak Samad. Amin.
Sumber : Berita Harian Online
Labels: ucapan
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
Hubungi saya :
Badruzamani Azmi Manager Valina Rabbitary Agro Farm Bilik 132 Anjung Rahmat Inn Batu 6, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, 53100 Malaysia | Mobile: 0134177752 badruzamani_azmi@yahoo.com | |
nak KAYA kena ada DUIT | ||
Visit MyBlogLog and get a signature like this! |