Apakah cara terbaik dalam menangani dan melindungi anak-anak daripada menjadi mangsa penderaan seksual?


DALAM menangani isu berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling antara golongan yang perlu dipertanggungjawabkan.

Apakah yang boleh kita katakan sekiranya kesucian seorang kanak-kanak itu dinodai? Atau apabila seorang kanak-kanak dicabuli tanpa belas kasihan? Atau apabila seorang kanak-kanak didera dengan cara kekerasan oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan?

Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan penderaan seksual kanak-kanak kian berleluasa. Tidak kira tempat, situasi mahupun keadaan, pasti akan berlaku tanpa diketahui punca dan sebabnya.

Siapa yang harus dipersalahkan? Adakah kanak-kanak itu sendiri ataupun ibu bapa, guru dan pihak berkuasa?

Terdapat banyak kemungkinan yang menjadi persoalan kita hari ini. Namun, permasalahan yang berlaku itu turut melibatkan bantuan dan sokongan seluruh anggota masyarakat.

Menurut jurulatih merangkap pegawai pencegahan di P.S The Children, Wong Lai Cheng, ibu bapa dan orang awam seharusnya memainkan peranan penting dalam menangani masalah berhubungan penderaan seksual kanak-kanak.

Pengisian diri dengan maklumat tambahan berkaitan isu semasa dan memahami definisi penderaan seksual kanak-kanak serta cara pencegahannya, antara elemen penting yang perlu diketahui.

Katanya, penderaan seksual terhadap kanak-kanak berlaku apabila seorang, sama ada tua ataupun muda, lelaki mahupun perempuan, menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seksnya.

"Ia boleh membabitkan paksaan, penipuan atau ancaman ke atas kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seks. Penderaan sebegini boleh berlaku dalam bentuk fizikal atau bukan fizikal dan boleh meliputi satu rangkaian perilaku seks.

"Antaranya seperti persetubuhan melalui faraj atau dubur, memasuki objek ke dalam lubang faraj, mulut atau dubur, melakukan seks oral, panggilan lucah, mendedahkan bahagian sulit ataupun mengintai," ujarnya.

Paling penting katanya, ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak hal berkaitan pendidikan seksual sejak kecil lagi, ketika mereka mula bercakap.

"Mulakan dengan pengenalan pada bahagian luaran anggota dan dalaman badan. Jangan sesekali berasa malu untuk menyatakan perkara yang melibatkan anggota kemaluan.

"Selain mendedahkan maklumat mengenai pengenalan diri, ibu bapa mahupun guru perlulah membangkitkan kesedaran dan keyakinan terhadap diri mereka dan anak-anak menerusi kemahiran yang boleh dipraktikkan," katanya ketika ditemui KOSMO!.

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa perlu menitikberatkan tiga perkara penting mengenai kawalan keselamatan diri kanak-kanak.

Antara komponen utama yang perlu dijelaskan kepada mereka dengan sentiasa berkata tidak, melarikan diri dan memberitahu perkara yang berlaku.

"Dalam hal ini, ibu bapa seharusnya mendedahkan kepada mereka tentang peraturan menyentuh. Ajar kanak-kanak bahawa adalah salah sekiranya membenarkan orang lain memegang atau menyentuh bahagian sulit badan melainkan membersih dan menjaga kesihatan mereka.

"Dan salah sekiranya orang yang lebih besar atau tua menyuruh kamu memegang atau menyentuh bahagian sulit badan mereka," tegas Lai Cheng.

Sekiranya ia berlaku, ajar kanak-kanak memberitahu kepada orang yang boleh dipercayai dan jangan sesekali merahsiakan perkara tersebut.

Antara tindakan yang perlu dilakukan ibu bapa sekiranya anak mereka mula memberitahu:


Percaya

Kanak-kanak jarang sekali mengadakan cerita apatah lagi menggembar-gemburkannya. Mereka tidak berani untuk menceritakan sesuatu kerana bimbang tiada siapapun yang akan percaya kepada mereka.

Mempercayai kanak-kanak adalah langkah utama dalam membantu mengatasi trauma yang dialami. Kata-kata seperti, 'saya percayakan kamu' atau 'itu bukan salah kamu' akan memulihkan semangat mereka untuk bercerita.

Bertenang

Kanak-kanak mungkin menyalah anggap kemarahan anda terhadap penderaan yang berlaku kepada mereka sebagai suatu perkara yang menjijikkan. Kesabaran anda dapat membantu mengembalikan maruah mereka.

Kata-kata yang menyakinkan seperti, 'kanak-kanak lain juga ada mengalami pengalaman yang sama' atau 'kita harus lakukan sesuatu' boleh mendorong mereka untuk lebih bersikap terbuka.

Beri keyakinan

Kanak-kanak yang didera sering bermain dengan perasaan mereka, akibat daripada manipulasi yang dilakukan oleh pendera.

Mereka harus dibenarkan dan digalakkan untuk menyatakan perasaan yang terpendam. Perasaan mereka haruslah dipandang serius dan tegas.

Kata-kata seperti, 'saya tahu ia bukan mudah untuk diterima' dan 'awak memang berani untuk mendedahkannya' dapat menyampaikan simpati, keprihatinan dan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak.

Membimbing kanak-kanak menghadapi situasi seterusnya.

Kanak-kanak yang didera akan berasa tidak berupaya. Mereka perlu tahu ada pihak yang sedia menghulurkan bantuan.

Mereka juga harus diberitahu apa yang perlu dilakukan contohnya, bagaimana mengaitkan kejadian itu, siapa yang harus diberitahu dan apakah bantuan yang diperlukan.

Beri sokongan

Bercakap tentang penderaan boleh menjadikan mereka trauma seperti kesan penderaan itu sendiri. Orang dewasa harus memberikan sokongan kepada kanak-kanak, khususnya ketika mereka mula memberitahu. Yakinkan kanak-kanak tersebut bahawa anda akan sentiasa membantu selagi mereka memerlukan anda dan bersama-sama menempuhinya.


Laporkan kes penderaan

Ini adalah satu langkah untuk mencegah kes penderaan. Dinasihatkan supaya membuat laporan dalam masa 72 jam.

0 Comments:

Post a Comment



Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

Hubungi saya :

Badruzamani Azmi
Manager
Valina Rabbitary Agro Farm
Bilik 132
Anjung Rahmat Inn
Batu 6, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, 53100
Malaysia
Mobile: 0134177752
badruzamani_azmi@yahoo.com
nak KAYA kena ada DUIT
Visit MyBlogLog and get a signature like this!